Pengalaman Menyayat Hati Zarina Zainuddin Mengasuh Anak Kembar Autistik Buka Mata Rakyat Malaysia

MUHAMMAD Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai – boleh Zarina kongsikan, apakah kelebihan dan keterbatasan masing-masing? Bagaimana Zarina lihat pasangan kembar autisme ini saling melengkapi?

Ya, meski kedua-duanya anak Autisme, saya bersyukur, Tuhan tetap mengurniai beberapa kelebihan tidak tersangka. Muhammad Raizal Azrai (Azal) ini berdikari orangnya, pandai membawa diri, rajin bangun pagi, rajin juga bersolat Subuh.

Kalau di set penggambaran, Azal akan menunaikan solat apabila tiba waktunya, tidak perlu disuruh-suruh. Skrip lakonan saya, dialah yang menandanya. Bangun pagi-pagi, dia pasti mengetuk pintu kamar tidur saya lantas berteriak, “Ibu, ibu, shooting ibu pukul berapa? Ibu sudah solatkah? Mana skrip ibu? Apa lagi barang yang ibu nak bawa ke tempat shooting?”

Azal anak yang prihatin, hatinya penyayang. Dialah orangnya yang menyuapkan ubat kepada abangnya selalu. Abang pula, Muhammad Razil Azrai (Azil) masih bergantung kepada ubat,

namun saya tidak lagi mengizinkan Azil mengambil ubat sekerap dulu. Meski arahan doktor menetapkan bahawa ubat perlu dimakan dua kali sehari (setiap pagi dan malam), tetapi sekarang saya membenarkan Azil mengambilnya separuh sahaja.

“Apa sebenarnya kesan ubat ini?” Itulah persoalan yang selalu berlegar dalam fikiran saya.
Takdir Allah yang Maha Mengetahui, yang mengerti betapa hebatnya firasat dan naluri keibuan saya yang meronta, memberontak, menggelepar mahu mencari jawapan. Maka hendak dijadikan cerita, suatu hari, abang dan adik kembar ini bergaduh dengan teruknya.

Muka abang berdarah-darah kerana abang memukul-mukul, menumbuk-numbuk mukanya sendiri. Bajunya basah dilumuri darah.

Melihatkan Azil amuk tidak terkawal, Azal bertindak mahu menenangkan si abang, segera mengambil ubat lantas memaksa si abang menelannya. Biar abang lebih relaks, kata Azal. Mereka masih bertikam lidah. Keadaan bertambah gawat. Si adik dengan hasrat mahu merawat.

Abang terus memberontak. Hati saya panas. Saya akhirnya mengambil keputusan.
“Azal, beginilah,” pancung saya, tegas, “Awak tengok ubat ini?” Azal mengangguk. “Awak ambil satu, saya ambil satu. Kita makan sama-sama.”

Tidak sampai satu jam selepas menelan ubat penenang itu, saya terus lembik dan terbaring tak berdaya. Serasa satu badan lumpuh serta-merta. Kami saya lembik. Kepala saya berpusing.

Mata saya terkatup. Gelap-gelita. Saya dalam keadaan sedar, ya, tetapi saya tak mampu berjalan walaupun setapak.

Subhanallah! Ya Tuhan! Inikah kesan ubat kami paksa Azil telan setiap hari selama ini? Inikah ubat yang telah
membisu, menuli dan membutakan segala pancaindera manusiawinya, sehingga dia tidak lemah selemahnya, tidak berdaya?

“Saya mengantuk ibu. Saya tak boleh berjalan…” Azal merintih, lalu dia pun terlelap.
Semenjak peristiwa itu, saya menerangkan kepada Azal mengapa kami harus berhenti memaksa Azil mengambil ubat. “Tengoklah abang awak, Azal.

Setiap hari kita paksa dia makan ubat. Tengoklah keadaan abang, selepas diberi ubat, dia terbaring, tidur, tak sedarkan diri, tidak peka lagi pada keadaan sekeliling. Awak tak kasihankah tengok keadaan abang awak macam itu, Azal?”

Ya, selepas peristiwa itu, kami kawal dan urus pemberian ubat Azil. Kalau hanya perlu sebiji, maka sebiji sajalah yang saya beri meski preskrepsi doktor menyarankan duit biji. Benarlah, kita sebagai ibu harus mengambil tahu apa yang kita suap ke dalam mulut anak-anak kita.

Jika ia memudaratkan, saya mohon kepada Allah, jauhkanlah. Jika dia perlu menanggung sakit, saya berdoa kepada Allah, pindahkanlah kesakitan itu kepada saya, biar seksanya saya sahaja yang menanggung.

Memaksanya mematuhi rutin ubat-ubatan itu, membuat saya tersedar, betapa kami telah merampas waktu gembiranya. Betapa kami telah merentap waktu sedarnya. Kami zalimi saat bebasnya. Kami pejamkan matanya sewaktu dia masih mahu melihat.

Ya Allah, betapa lalainya kami kerana menzalimi anak yang tidak berdosa ini.

Sejauh mana anak-anak Zarina diajar berdikari?

Meski kami punya pembantu, saya selalu mengingatkan anak-anak agar sentiasa sedar diri, jangan ambil mudah. Seperti Naim, sewaktu kami berkonfrontasi tidak lama dahulu, saya katakan kepadanya, “Naim tidak malukah melihat kawan-kawan lain cemerlang dalam pelajaran? Naim tidak sedihkah orang mengeji ibu? Orang mengejek Naim, orang menghina ibu, tengoklah, anak artis, memanglah begitu.”

Saya beri kata dua kepada Naim. Jika Naim tidak minat belajar, enggan bertoleransi sesama adik-beradik, maka saya akan menghantarnya jauh ke sekolah tahfiz.

Kata saya, di sana nanti, belajarlah membasuh baju sendiri, tiada siapa akan menghidangkan nasi dan lauk-pauk panas di meja, tiada siapa akan membancuhkan Milo ais atau susu kocak untuknya. Kalau di rumah, anak-anak ini hanya tahu melaung memanggil pembantu, “Bedaaahhhh… nak baju. Bedaaaaahhhh… nak makan.” Ya, Naim berubah selepas itu, dia memperolehi 4A dalam UPSR, jadilah… saya sangat bersyukur.

Saya mahu anak-anak saya juga belajar susah. Saya dulu sangat berdikari. Semua perkara saya buat sendiri. Saya juga bukan orang senang. Saya cuma ada sehelai baju sekolah. Selesai pakai dua hari, saya cepat-cepat cuci, keringkan dan pakai keesokannya. Anak-anak zaman sekarang tak belajar erti susah.
Nasihat Zarina kepada wanita di luar sana yang mengurus anak-anak Autistik?

Ada beberapa panduan boleh saya kongsikan di sini berdasarkan pengalaman peribadi yang tidak seberapa ini. Ingatlah, anak-anak Autistik amat selesa dan akrab dengan rutinisasi. Variasi yang cuba kita bawa ke dalam rutin mereka, perlulah dibuat dengan hati-hati, kerana ia boleh gelisahkan mereka.

Mereka juga berdepan kesukaran dalam aktiviti motorik. Kerana itu, janganlah kecewa jika anak-anak autistik kita tak mampu bergiat cergas dalam sukan-sukan atletik (yang memerlukan koordinasi gerakan tubuh tertentu). Janganlah memaksanya melakukan sesuatu yang dia tak mampu.

Banyakkan bersabar. Kesabaran yang saya maksudkan ini adalah kesabaran paling ikhlas. Ia tidak mungkin dapat anda pelajari dari mana-mana kamar kuliah sekalipun. Ia tidak mungkin dapat anda kuasai daripada ijazah yang tercetak cop mohor Harvard sekalipun. Mengendalikan anak-anak autistik, harus datang bersama kita, kesabaran, kebijakan, rasa reda, tawaduk, berserah dan pasrah atas pemberian Allah.

Seperti Azal dan Azil, mereka tiada keupayaan mengendalikan emosi mereka. Kalau boleh saya sebutkan di sini, kadang-kadang, mereka sendiri rasa terperanjat dengan emosi mereka, sehingga mereka amuk dan tantrum sedahsyat puting-beliung.

Saya tidak malu mengakui, hingga saat ini, saya masih terus belajar memperbaiki interpersonal skill saya dalam mengurus Azal dan Azil. Saya bersyukur, saya diberi kesempatan untuk terus menatap dua anak istimewa ini, melatih mereka mengendali emosi, sosial dan intelektual. Biar mereka terus belajar menjadi manusia yang mandiri, yang tidak menyusahkan orang lain andai kata saya tiada lagi di dunia ini suatu hari nanti.

Saya telah dipilih Allah untuk menghamili mereka, menyusukan mereka dengan tetes susu saya sendiri, maka saya pasrah dan berserah pada qada dan qadar ini. Tidak dapat saya membayangkan, bagaimanakah kehidupan Azal dan Azil selepas ini jika saya pergi dulu?

Mampukah kebajikan mereka dijaga, mampukah tantrum mereka dijinakkan kesabaran orang lain yang menjaganya selepas ini?

Artikel berjudul “Akustik Cinta Autistik” (tersiar dalam majalah InTrend Malaysia edisi Februari 2016) ini telah ditulis berdasarkan kisah benar dan pengalaman Zarina Zainuddin mengasuh anak-anaknya yang Autistik; menerima respons positif para netizen.

Petikan pendek artikel tersebut yang dikongsi di laman Facebook “Autisme Malaysia” ternyata mengundang simpati dan maklum balas ramai ibu bapa. Kebanyakan mereka yang turut dikurniakan anak-anak syurga ini memahami situasi yang dihadapi oleh Zarina Zainuddin.
Ayuh, kita ikuti apa komen dan reaksi mereka.

Mohon Kongsikan
.
.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *